Azab Kubur

Dan sabda Nabi S.A.W, jikalau bahawasanya segala anak Adam mengetahui mereka itu akan azab kubur nescaya tiada memberi manfaat akan mereka itu kehidupan pada dunia. Maka minta berlindung oleh mu kepada Allah Al Karim daripada seksa kubur yang sangat berat.

(Dan pada hadis) yang Hasan bagi Hakim daripada Abi Zar, jikalau mengetahui kamu akan barang yang aku ketahui, yakni daripada huru hara kemudian daripada mati nescaya sedikit tertawa-tawa kamu dan banyak menangis kamu.
Dan pada setengah riwayat; nescaya tiada lalu bagi kamu makanan dan tiada lalu bagi minum.

wallahu a'lam

Sumber: AlJauharul Mauhub Waminbihatulqulub. Muka surat 190. baris 3 Hingga 8.

Keras Hati

Kerasnya hati manusia adalah kerana beberapa sebab yang dilakukannya seharian tanpa disedari manusia itu sendiri. Oleh itu apakah yang menyebabkan hati kita menjadi keras dalam menerima kebenaran dan nur islam.Kerasnya hati manusia adalah kerana adanya kesenangan dalam hati setiap insan. Tanda bila hati kita semakin keras:

1. Rela kepada nafsu:  Membiarkan kepada apa yang disukai oleh nafsunya.
2. Melupakan bahaya nafsu:  Melupakan kesudahan yang membawa kerosakan yang berpanjangan bila mengikut nafsu.
3. Selalu mengikut nafsu: Sentiasa menurut kehendak nafsu.

Oleh itu awasilah oleh mu akan binasanya bawaan nafsu.

wallahu a'lam

Mutiara Kata

Orang mukmin memandang dosa seperti bukit yang hendak menimpa dirinya.

Orang munafik memandang dosa seperti lalat yang hinggap dihidungnya.

wallahu a'lam

Apabila mati orang Alim.

Sabda Nabi S.A.W


Apabila mati orang alim, menangis atasnya oleh ahli 7 petala langit dan 7 petala bumi. Yakni yang lain daripada anak adam, 70 hari.


wallahu a'lam

Rujuk: AlJauharu Mauhub Waminbihatulqulub. Mukasurat 175. Baris 12 dari bawah.

Habib Ali Batu Pahat Telah Kembali KerahmatuLlah

                                      إنا لله وإنا إليه راجعون
Baru sebentar tadi dapat sms yang membawa khabar sedih iaitu seorang auliyaUllah, al-'Arifbillah al-Habib Ali bin Ja'far bin Ahmad bin 'Abdul Qadir al-Idrus Batu Pahat telah kembali kerahmatuLlah pada jam lebih kurang 5.10 petang, 28 JumadilUla 1431H/ 13 Mei 2010. Allahu Allah ... setelah 40 hari pemergian al-Quthub al-Iman al-Allamah al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad bin 'Abdurrahman as-Saqqaf. Belum lagi terubat kesedihan atas pemergian al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad as-Saqqaf, kini menyusul pula al-Habib Ali bin Ja'far bin Ahmad al-Aydrus (pada usia lebih kurang 97 tahun), Batu Pahat. Allahu Allah ...... Tahun ini merupakan kesedihan buat warga BaAlawi.
Musibah! Musibah! Musibah buat umat apabila kekasih-kekasihNYA satu persatu kembali kepadaNYA

Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu kabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim. [Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi]

الله يغفرله ويرحمه ويتجاوز عن سيئاته ويضاعف حسناته ويجعل مستقر روحه الفردوس الأعلى مع النبيين والصديقين و الشهداء والصالحين ويخلفه فينا وفي المسلمين أجمعين بالخلف الصالح. آمين

Semoga Allah mengampuninya, merahmatinya, memaafkan semua kesalahannya, melipatgandakan kebaikannya, menempatkan ruhnya di Syurga Firdaus yang tertinggi bersama para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan sholihin dan semoga Allah memberi ganti yang baik bagi kami dan kaum muslimin. Ameen.

Marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan surah al-Faatihah dan surah Yaasin kepada beliau.




Sumber: http://al-fanshuri.blogspot.com/2010/05/habib-ali-batu-pahat-telah-kembali.html









Untuk Melembutkan Hati

Untuk melembutkan hati kena amal 9 perkara.

1. Membaca Al Quran dengan Tadabbur (baca dengan fikir / memerhati /faham).
2. Mengosongkan perut / kurangkan makan dan minum.
3. Beribadah di tengah malam.
4. Hinakan diri kepada Allah (dengan berdoa pada waktu sahur).
5. Memperbanyakkan  berhimpun dengan orang-orang yang soleh.
6. Tinggalkan yang tiada faedah dari pada percakapan dan perbuatan.
7. Jauhkan diri daripada orang jahat (Jahat yang dimaksudkan: - tiap-tiap yang tidak mengikut suruh allah & tidak menjauhkan larang allah).
8. Tinggalkan masuk campur hal manusia (jangan mengumpat).
9. Makan daripada yang halal.


wallahu a'lam

Menyebut Mati.

Kata Qurtubi di dalam tazkirahnya;
"Barang siapa membanyakkan menyebutkan mati, dimuliakan akan dia dengan 3 perkara:"

1.  Segera taubat.
2.  Qonaa' yakni memadai dengan barang yang datang daripada allah.
3.  Gemar dan rajin pada mengerjakan ibadah.

Dan barang siapa lupa menyebutkan mati disiksakan dia dengan 3 perkara:

1.  Mentakhirkan taubat (bertangguh dalam bertaubat).
2.  Tiada redha dengan barang yang memadai akan dia.
3.  Segan (malas) pada mengerjakan ibadah.

Dan sabda Nabi S.A.W;
"Jikalau mengetahui binatang akan barang yang kamu ketahui daripada mati nescaya tiada dapat kamu makan akan yang gemuk daripadanya.  -   wallahu a'lam

Marilah kita sama-sama kita renungi diri kita, dimanakah diri kita tempatkan dalam perlumbaan mengerjakan amal ibadah untuk bekalan di hari yang dihitung setiap perbuatan kita.
Semoga allah jadikan kita di kalangan hamba-hambanya yang mendapat keredhaannya yang bernaung dibawah arasy' nanti.  - Amin.

wallahu a'lam.

Cukupkah untuk kita.......

Persoalan yang amat berat untuk setiap insan di dunia ini....

Adakah telah cukup amal ibadah kita untuk dipersembahkan kepadanya nanti. Adakah sudah cukup sempurna ibadah kita samada zahir atau batin. Inilah perkara UTAMA paling patut kita fikirkan setiap kali hela nafas demi nafas kita hembus dan sedut. Betapa kita ini semakin jauh dari keredhaan allah kerana kita alpa kerana terlalu mengejarkan tipuan dunia....
Cuba renungkan diri kita dan keluarga kita serta tanyakan diri kita.......
Apakah kerana kederat kita menghempas dan membanting tulang bekerja, berkerja sampingan dan yang seumpama dengannya yang menyebabkan kita mampu untuk memberi makan pakai kepada keluarga kita....

Tiliklah dengan hati yang bertauhid. Tiada ada didalam dunia ini yang terjadi kerana kuasa kita. Semuanya adalah kerana Pekuasanya Allah. Walau nasi yang kita kunyah sekalipun tidak akan hancur didalam mulut jika tidak dengan izin Allah S.W.T.
Tuhan yang menjadikan seluruh alam ini.
Tuhan yang mengetahui barang yang tidak diketahui oleh makhluk.
Tuhan yang mengetahui setiap titik hujan yang jatuh dari langit serta tuhan yang mengetahui dimanakah setiap titisan hujan itu akan jatuh, dimana, bila ketikanya.....
Semuanya dalam pengetahuan allah.

Oleh itu adakah kita masih lagi tidak mahu memandang akan diri kita yang tidak berdaya lagi tidak mencukupi lengkap berhadapan dengan Allah S.W.T bila sampai tika nya nanti.

Insaflah wahai diri ku.......


wallahu a'lam

JEMPUTAN


JEMPUTAN KE MAJLIS MAULIDUR RASUL

KEPADA SEMUA KAUM MUSLIMIN,

DENGAN SEGALA HORMATNYA KAMI MENJEMPUT SAUDARA SEMUA KE MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL


Tarikh
13 MAC 2010M
27 ROBIUL AWAL 1431H

Tempat
MADRASAH DARUS SALAM
LORONG 9, KAMPUNG SERI DAMAI,
25150 KUANTAN
PAHANG DARUL MAKMUR

Aturcara Majlis
0650 Petang : Ratib Al Hadad
0722 Malam : Solat Maghrib berjamaah, Maulid dan Tahlil
0900 Malam : Tazkirah oleh Mufti Pahang Dato' Haji Abdul Rhaman Bin Osman
0920 Malam : Ceramah oleh Al Habib Omar Al Idrus
1020 Malam : Solat Isyak berjamaah dan solat hajat
1040 Malam : Jamuan makan dan bersurai.

Sila klik pada gambar untuk melihat dengan lebih jelas.





PETA LOKASI PONDOK SRI DAMAI

Untuk melihat dengan lebih jelas, sila klik pada peta.

DALIL DAN BUKTI SUNAT

DALIL DAN BUKTI SUNAT MEMBUAT SAMBUTAN MAULIDURRASUL

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam keatas saiyidina Muhammad, Keluarga dan Sahabatnya sekelian…
Kami kemukakan dalil-dalil bagi masaalah Maulidurrasul didalam risalah ini, supaya dapat memberi penjelasan yang terang bagi sekelian kaum muslimin daripada terpesong dengan mereka yang membid’ahkan amalan ini. Mudah-mudahan Allah memberi manfaat dengannya, amin…!

DALIL SUNAT MENYAMBUT MAULIDURRASUL DI SISI ULAMA’ AHLI SUNNAH.

1. Merayakan hari kelahiran Nabi s.a.w. termasuk daripada perkara yang membesarkan dan memuliakan baginda. Dijanjikan kejayaan dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya. Firman Allah Taala:
“Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya dan membantunya dan mengikuti cahaya (Al-Qur’an) yang diturunkan bersamanya. Mereka itulah yang mendapat kejayaan.”
(Surah Al-A’araf, ayat 157).

2. Firman Allah Taala, : “Sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka membesarkan itu ialah setengah daripada menjunjung perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.” ( Al-Haj:32 )
Dimaksudkan dengan “tanda-tanda Allah” (Sya’airallah ) pada umum ayat ini, iaitu setiap perkara yang dijadikan sebagai tanda atau alamat bagi mentaati Allah. Sebesar-besar tanda agama ialah Nabi Muhammad s.a.w dan menyambut Maulidurrasul itu adalah membesarkan tanda Allah, termasuk dalam menjunjung perintah-Nya.

3. Meriwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya, begitu juga Ismaili dan Abdul Razak, Bahawa diringankan azab keatas Abi Lahab pada hari isnin kerana memerdekakan ‘Suwaibah’ iaitu hambanya yang menceritakan khabar gembira tentang kelahiran Nabi s.a.w.
Hadis ini menunjukkan bahawa:

i) Sesiapa yang menzahirkan kegembiraannya dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah diberi pahala yang besar kerana Abu Lahab yang kafir, seteru kepada Nabi s.a.w. diringankan azabnya, apatah lagi orang yang muslim. Seperti yang dikatakan oleh Al-Hafiz Nasiruddin ibnu Syamsuddin Ad-Dimasyqi dan Imam Al-Qurra Al-Hafiz Syamsuddin Muhammad Al-Jazri.
ii) Dianjurkan memulia dan membesarkan Nabi s.a.w dengan mengambil sempena hari kelahirannya. Hari kelahiran Baginda merupakan ‘ Hari Kebesaran Islam ’ dan hari yang mempunyai kelebihan. Diriwayatkan daripada Qatadah Al-Ansari, ‘ Bahawasanya Nabi ditanya tentang berpuasa hari Isnin, berkata Nabi s.a.w, “ Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian keatas ku.” ( Riwayat Muslim dan lainnya )
iii) Membuat perkara-perkara kebaikan (difahami daripada memerdekakan Suwaibah, hadis berpuasa hari Isnin dan hadis berpuasa hari A’syura yang akan datang ) sempena memuliakan hari kelahiran Nabi s.a.w seperti berhimpun dengan membaca Al-Qur’an, berselawat, memuji Nabi, bersedekah, menjamu makanan, berbuat baik kepada fakir-miskin dan lain-lain.

4. Didalam Sahih Bukhari dan Muslim, bahawa Nabi datang ke Madinah dan mendapati kaum Yahudi berpuasa hari A’syura lalu baginda bertanya , mereka menjawab, “ Ianya hari di mana Allah menenggelamkan Fir’aun dan menyelamatkan Musa. Kami berpuasa pada hari ini kerana mensyukuri Allah ta’ala.” Lalu nabi berkata, “ Kami terlebih utama dengan Musa…”.
Diambil pengertian daripada hadis ini, kita disarankan mensyukuri atas nikmat pemberian Allah pada hari tertentu yang mempunyai kelebihan atau hari yang dilepaskan daripada musibah. Menyambut Maulidurrasul adalah menzahirkan kegembiraan dan mensyukuri nikmat dan rahmat Allah ke atas alam ini. Ini kerana , sebesar-besar nikmat yang sempurna dan rahmat ialah lahirnya nabi kita s.a.w. sebagaimana berkata Ibnu Hajar Al-Haitami, Al-Hafiz Ibnu Hajar Assqalani, Sayuti dan lain-lain.

Firman Allah ta’ala, “ Katakanlah kepada kaummu, dengan kurniaan Allah dan rahmatnya , maka dengan demikian itu ( kurniaan dan rahmat ) , hendaklah kamu bergembira dan mensyukurinya.” ( Yunus:58 )

FirmanNya, “Tidaklah kami mengutuskan engkau ya Muhammad melainkan kerana rahmat bagi sekelian alam.”( Al-Anbiyaa’:107 )

5. Memperingati dan membesarkan Maulidurrasul dengan selawat, membaca kisahnya, merupakan perantaraan kepada mencintai nabi dan mencintai Allah. “ Tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehingga adalah aku terlebih dikasihinya daripada dirinya, hartanya, anaknya dan sekelian manusia.” ( al-Hadis ).

Firman Allah ta’ala, “ Katakanlah kepada kaummu, jika sekiranya kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu.” (Ali-Imran:31)

KESIMPULAN

i) Menyambut hari kelahiran Rasulullah disabitkan dengan dalil-dalil syara’.
ii) Disunatkan memperingati maulidurrasul pada bila-bila masa, terlebih utama
lagi sempena hari kelahirannya.
iii) Membesarkan Nabi bersempena hari kelahirannya yang merupakan salah satu
hari kebesaran Islam.
iv) Menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran atas sebesar-besar nikmat dan
rahmat Allah iaitu kelahiran baginda dengan mengerjakan amalan-amalan
kebaikan.
v) Menyambut hari kebesaran ini membawa kepada mencintai nabi dan mencintai Allah.
vi) Mendapat ganjaran yang besar di dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya. 
Orang yang pertama merayakan Maulid ialah Sultan Ibnu Malik Al-Muzzaffar, seorang wali Allah, raja yang adil, warak , zuhud dan alim. Menghadiri Majlis Maulidnya ulama’-ulama’ muktabar dan orang-orang salih dengan ketiadaan mengingkarinya , sehinggakan ulama’ besar yang bernama Assyeikh Abu Khatab Ibnu Dihyah telah mengarang bagi sultan itu, kitab Antanwir membicarakan tentang amalan Maulid. ( Lihat Al-Hawi Lil Fatawi bagi Sayuti ).

Berkata Assakhawi, “Sesungguhnya amalan Maulid berlaku kemudian daripada kurun ketiga iaitu tiga ratus tahun daripada Hijrah, selepas itu sentiasalah umat Islam pada setiap negeri mengamalkannya…….”

Oleh itu, amalan Maulidurrasul ini adalah ijmak muslimin yang tidak diengkari bahkan disokongi oleh ulama’ Ahli Sunnah sejak pertama kali diadakan hingga sekarang. Tidak berhimpun ulama’ dan seluruh muslimin yang sempurna imannya pada kesesatan. Sabda Nabi, “Tidak berhimpun umatku diatas kesesatan.” Sabdanya lagi, “Sesuatu perkara yang dipandang baik oleh muslimin maka ianya di sisi Allah adalah kebaikan.”

DALIL SATU PERSATU AMALAN YANG DILAKUKAN DIDALAM MAULID.
BERHIMPUN DENGAN BERTILAWAH AL-QURAN, BERZIKIR, BERSELAWAT, MEMBACA KISAH NABI DAN MENGADAKAN JAMUAN

1) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, “Bersabda Rasulullah; Tidak berhimpun suatu perhimpunan pada satu majlis di dalam masjid daripada masjid-masjid Allah , lalu mereka membaca al-Quran dan bertadarus sesama mereka, melainkan turun ke atas mereka ketenangan yang diselubungi rahmat Allah serta dilingkungi para malaikat dan Allah menyebut tentang mereka dikalangan nabi dan malaikat di sisi-Nya .” ( Sahih Muslim ).

2) Bersabda Nabi s.a.w., “Tidaklah berhimpun satu perhimpunan di dalam suatu majlis lalu mereka tidak berzikir mengingati Allah dan tidak berselawat ke atasku, melainkan kekurangan dan penyesalan ke atas mereka di hari Qiamat.”

3) Firman Allah ta’ala, “Kami ceritakan kepada engkau setiap perkhabaran daripada kisah-kisah Nabi yang menguatkan hati engkau dengannya dan datang kepada engkau di dalam perkhabaran ini, kebenaran, pengajaran dan peringatan bagi orang yang beriman.” (Hud:120)

4) Meriwayat Imam Ahmad dan Hakim daripada Suhaib, Nabi bersabda, “ Seseorang yang terlebih baik di antara kamu ialah mereka yang menjamu makanan dan menjawab salam.” Berkata al-Iraqi, “ Hadis ini sahih sanadnya .”

Meriwayat Turmizi , bahawa sahabat-sahabat nabi tidak bersurai mereka daripada majlis bertilawah al-Quran dan zikir, melainkan selepas menikmati jamuan.

SUNAT BERDIRI KETIKA DIBACAKAN KISAH KELAHIRAN BAGINDA S.A.W.

Disunatkan berdiri ketika dibaca kisah kelahiran Nabi s.a.w. kerana perbuatan berdiri menunjukkan di atas membesarkan baginda, termasuk di dalam nas al-Quran yang kami sebutkan dahulu. Telah berdiri Imam Subki bersama-sama orang ramai di Majlis Maulid ketika kisah kelahiran baginda dibacakan. Ulama’ Ahli Sunnah mengatakan sunat dan elok perbuatan ini. Cara membesar dan memuliakan Nabi s.a.w. semasa hayat baginda atau wafatnya, samada dengan hati atau lisan seperti berselawat, puji-pujian atau dengan perbuatan iaitu berdiri. Telah disepakati pada adat orang ramai bahawa berdiri itu bertujuan membesarkan seseorang. Adapun Fatwa al-Allamah Imam Abu Saud yang mengkafirkan mereka yang tidak berdiri ketika orang ramai berdiri pada Majlis Maulid , sekiranya mereka meninggalkan berdiri kerana menghinakan Nabi s.a.w. atau mengingkari hukum membesarkan baginda.
Berkata Imam Nawawi, “Disunatkan berdiri kepada orang yang hadir iaitu daripada ahli kelebihan dan kemuliaan, sesungguhnya datang hadis-hadis sebagai hujah padanya…….”

1) Diriwayatkan daripada Said al-Khudri, Nabi bersabda, “ Berdirilah kamu kepada penghulu kamu” ( iaitu Saad Ibnu Muaz yang hadir kepada sahabat ), lalu ia datang dan duduk kepada Rasulullah. ( Riwayat Abu Daud ).

Perbuatan berdiri dalam hadis ini adalah kerana memuliakan Saad, bukan kerana hendak menurunkan Saad yang sakit daripada tunggangannya. Jika berdiri kepada Saad disebabkan keuzurannya , nescaya nabi berkata dengan lafaz, “Berdirilah kepada orang yang sakit daripada kamu”, dan tidaklah perlu nabi menyuruh sekalian sahabat bahkan memadai seorang dua shaja bagi memapahnya.

2) Mengeluar Abu Daud daripada Abu Hurairah, “Adalah nabi bercakap dengan kami, apabila baginda berdiri, lalu kami pun berdiri kepadanya hingga kami melihat ia memasuki rumahnya.”
Adapun berdiri yang dilarang dalam beberapa hadis, adalah berdiri yang lahir daripada sifat takabbur atau larangan itu kerana tawaduk nabi. Disunatkan berdiri tersebut semata-mata kerana perbuatan berdiri termasuk daripada membesarkan nabi, samada hadir Roh Nabi di dalam Majlis Maulid ataupun tidak. Ketahuilah ! Roh Nabi dan orang mukmin boleh pergi ke mana sahaja yang dikehendakinya dan harus dapat berjumpa dan melihatnya.

i) Sabit pada hadis sahih bahawa berhimpun nabi s.a.w dengan para nabi di Baitul Maqdis dan di langit pada kisah Isra’ dan Mikraj.
ii) Daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w melihat Nabi Musa dan Nabi Yunus menunaikan haji sambil mengucapkan ‘talbiah’.
iii) Didalam Sahih Bukhari, bahawa sesetengah sahabat dilihat bersembahyang di dalam masjid selepas meninggal dunia.
iv) Daripada Abu Hurairah, Nabi Bersabda, “Sesiapa melihatku didalam mimpinya, nescaya ia akan melihat aku ketika jaga ( tidak bermimpi ) dan syaitan tidak boleh berupa dengan rupaku.” ( Bukhari dan Muslim )
Berkata Imam Sayuti, “Bahawa nabi s.a.w itu hidup dengan jasad dan roh, serta rohnya berjalan ke mana sahaja yang dikehendakinya kepada segala tempat dimuka bumi dan alam malakut….”

Meriwayat Imam Ahmad, Turmizi dan Ibnu Abi Dunia daripada Salman Al-Farisi, “Bahawa roh orang mukmin berada di barzah di dalam dunia, boleh pergi ke mana-mana yang dikehendakinya.” 

SUNAT MEMUJI NABI DENGAN SYAIR

Allah ta’ala memuji penyair-penyair yang beriman dan mengasingkan mereka daripada kumpulan penyair yang dicela dengan firmanNya :
1) “…..Melainkan penyair-penyair yang beriman dan beramal salih serta banyak menyebut Allah………” (Assyua’ra:227)

Telah mentafsir Imam an-Nasafi, “Berzikir mengingati Allah dan bertilawah al-Quran adalah menjadi kebiasaan bagi mereka daripada bersyair. Apabila mereka menyampaikan syair , mereka bersyair pada mentauhid dan memuji Allah, tentang ilmu, peringatan, zuhud, budi pekerti, memuji Rasulullah dan sahabat serta orang-orang salih dan seumpamanya.”

2) Mengeluar Bukhari di dalam `Al-Adab Al-Mufrad’ dan Thabarani di dalam `Al-Ausath’ daripada hadis marfu’ Abdullah Ibnu Omar, “Syair itu menempati percakapan, maka syair yang baik seperti percakapan yang baik dan syair yang keji seperti percakapan yang keji..”

3) Meriwayat Thabarani, bahawa ketika Nabi s.a.w. memasuki Madinah sekembalinya daripada perang Tabuk, berkata Ibnu Abbas, “Ya Rasulullah ! Adakah memberi keizinan kepada aku memuji engkau ? Bersabda Nabi, “Katakanlah ! Tidak akan mensadur Allah mulut engkau,” lalu ia memuji baginda dengan qasidah syair…..

Menyebut Mawardi di dalam al-Hawi dan Ruyani di dalam al-Bahri, bahawa syair terbahagi kepada ; haram, harus dan sunat. Syair yang disunatkan itu dua bahagian. Pertama, syair yang menakuti dan memperingati huru-hara akhirat. Kedua, syair yang menekankan budi pekerti yang baik. Di antara syair yang disunatkan ialah memuji para nabi, sahabat, ahli taqwa dan seumpamanya.

Adapun hadis yang berbunyi, “Janganlah kamu memuji aku sebagaimana orang Nasrani memuji Isa Ibnu Maryam,” dilarang memuji sehingga menganggap nabi sebagai anak tuhan atau tuhan.

Firman Allah ta’ala, “ Berkata orang Nasrani, Isa itu anak tuhan.”( At-Taubah:30 ) FirmanNya, “Sesungguhnya menjadi kafir mereka (Nasrani) yang berkata bahawa Allah, tuhan yang ketiga daripada tiga tuhan.” (al-Maidah:73)

Tidak menjadi kesalahan mengagungkan Nabi s.a.w. dengan melampau-lampau selagi tidak menganggapnya sebagai tuhan, kerana sabit dengan hadis-hadis sahih, di antaranya :
Meriwayat Bukhari bahawa Urwah ibnu Mas’ud as-Saqafi menghadiri kepada Nabi s.a.w. di dalam Perjanjian Hudaibiyah . Sekembali Urwah kepada kaumnya lalu berkata, “…tidak pernah aku melihat seorang pun yang mengagungkan seseorang sebagaimana sahabat Muhammad mengagungkannya. Tidaklah Muhammad berludah satu ludahan, melainkan menyambut sahabatnya dengan tangan-tangan mereka, lalu melumurkan ke wajah mereka dan tidaklah ia berwuduk, melainkan mereka berebut-rebut kepada air wuduknya untuk mengambil barakat, sedangkan ia mengiktiraf dan tidak mengingkari perbuatan mereka itu dan mereka ( sahabat ) tidak menajamkan pandangan kepadanya.”

Telah ijmak ulama’ pada harus berseru meminta pertolongan dan bertawasul dengan mengambil barakat Nabi s.a.w. Meriwayat Baihaqi dengan sanad yang sahih, daripada Malik addar , berkata, “ Telah menimpa musibah kemarau pada orang ramai di zaman Umar al-Khatab, lalu datang seorang lelaki ( Bilal Ibnu Haris al-Muzani ) ke kubur Nabi s.a.w. dan berseru, “ Ya Rasulullah ! Mintalah supaya diturunkan hujan bagi umatmu kerana sesungguhnya mereka itu sedang binasa.” Lalu hadir rasulullah di dalam mimpinya dan baginda berkata, “Pergilah kepada Umar dan sampaikan salamku kepadanya…..”. 
Dalam hadis ini , lelaki berkenaan telah memberitahu kepada saidina Umar tentang kisah tersebut, akan tetapi saidina Umar dan sahabat-sahabat yang lain tidak mengingkari perbuatan lelaki itu.

Berkata as-Subki, “ Elok bertawasul dan berseru meminta pertolongan dengan Nabi sebagai perantaraan kepada tuhannya. Tidak seorangpun daripada Salaf dan Khalaf mengingkarinya, sehingga datang Ibnu Taimiyah mengingkari serta menyimpang daripada jalan yang sebenar lalu menghukum bid’ah perkara yang tidak dikatakan bid’ah oleh seorang alim sebelumnya, dan jadilah membid’ahkannya itu, sebagai perkara yang menakut-nakutkan umat Islam daripada mengerjakannya.”

TARIKH KELAHIRAN NABI S.A.W.

Telah berlaku perselisihan Ulama’ pada menentukan tarikh kelahiran Nabi s.a.w. kepada tujuh pendapat. Pendapat yang terlebih masyhur daripadanya :-
1) Hari kelahiran baginda pada 12 Rabiulawal iaitu pendapat Mohd Ibnu Ishaq Naisaburi dan lainnya. Berkata Ibnu Katsir, “Pendapat ini masyhur di sisi kebanyakkan ulama’ dan dipegangi oleh ahli Makkah sejak dahulu hingga sekarang pada waktu menziarahi tempat kelahiran Nabi s.a.w. Mendakwa Ibnu Jauzi dan Ibnu Jazar dengan ijmak , iaitu ijmak kebanyakkan atau ijmak perbuatan, kerana salaf dan khalaf bersepakat atas amalan Maulid dan menamakan hari kelahiran baginda pada hari tersebut di setiap negeri, sehinggakan di Makkah, tempat kelahirannya…”

2) Berkata kebanyakan Imam-Imam yang menghafal hadis iaitu ulama’ yang terdahulu dan lainnya, bahawa ianya hari kelapan Rabiulawal.
Berkata Syeikh Yusuf Ibnu Ismail Annabhani, “Tetapi, pendapat yang pertama itu masyhur di sisi jumhur ulama’ dan ianya pendapat yang sahih, yang mana dipegangi oleh ulama’ salaf dan khalaf, maka diatas pendapat inilah yang dipegangi.”

Wallahua’lam … 

Dikeluarkan Oleh:

Pelajar Pondok Pasir Tumbuh,
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.
Tarikh: 31 Mei 2001 bersamaan
8 Rabiul Awwal 1422 H.
Sumber :